Hoya elliptica

Pokok Hoya elliptica ini juga merupakan hasil pembelian secara online dan selamat tiba pada 2 Jun 2011. Pokok ini berasal dari Malaysia dan sangat mudah membiak.

Daunnya akan bertukar menjadi warna kemerah-merahan sekiranya berada di bawah pancaran matahari secara terus, namun begitu hasilnya ia akan rajin berbunga. Jika dibiarkan di kawasan redup, daunnya akan menghijau namun begitu tidak akan kerap berbunga.

Hoya lacunosa

Pokok Hoya lacunosa ini amat comel. Pokok ini juga dibeli secara online dan selamat tiba pada 2 Jun 2011. Saiz daunnya adalah separuh saiz daun hoya yang biasa ditaman. Bunganya juga adalah lebih kecil berbanding saiz bunga Hoya pubicalyx atau Hoya carnosa.

Namun begitu kelebihan Hoya carnosa ini ialah dari segi bunganya yang sangat wangi. Pokok ini juga kerap berbunga dan mudah untuk dijaga.

Hoya latifolia

Pokok Hoya latifolia ini dibeli secara online dan selamat tiba pada 2 Jun 2011. Daunnya amat besar urat-urat daun kelihatan sangat ketara. Sekali pandang seperti daun sirih.

Menurut sumber dari internet, pokok ini akan menghasilkan bunga yang berwarna putih dan mempunyai bau yang wangi.

Hoya meliflua

Pokok Hoya meliflua ini dibeli secara online dan tiba pada 2 Jun 2011. Daunnya tebal dengan warna hijau yang pekat dan struktur akar yang padat.

Menurut sumber daripada Wikipedia, pokok ini berasal dari Filipina. Namanya merupakan gabungan daripada perkataan "mellis" yang bermaksud honeydew dan "fluo" yang membawa maksud mengalir. Nama ini tercetus kerana bunganya yang berwarna jingga kemerahan mempunyai madu (nectar) berdekatan dengan dasar yang menghasilkan dark sap.

Hoya ini berbunga sekitar bulan Jun di Filipina, dan setiap kluster bunga terdapat lebih kurang 10 hingga 20 kuntum bunga. Spesis ini menyerupai Hoya Fraterna malah seringkali dipanggil 'the little fraterna' (sumber : Wikipedia)

Hoya pubicalyx

Pokok Hoya pubicalyx ini juga merupakan hasil daripada keratan batang yang diambil daripada pokok kepunyaan abang ipar. Pokok ini adalah antara pokok hoya yang mudah tumbuh serta lasak. Gambar di atas merupakan bunga yang belum kembang.

Hoya carnosa

Pokok ini ditanam daripada keratan batang pokok Hoya carnosa kepunyaan abang ipar. Menurut beliau pokok tersebut dibeli semasa melawat Cameron Highlands. Usia pokok ini sudah sudah melebihi 5 tahun. Pokok ini sangat lasak, malah pernah daunnya kuning kekeringan dan mengecut akibat cuaca kemarau serta tidak disiram selama beberapa hari. Namun begitu setelah disiram, pokok ini terus kelihatan segar dan kembali normal.

Pokok Hoya carnosa ini kerap berbunga meskipun tidak menerima pembajaan yang teratur. Bunganya berbentuk sfera sebesar bola tenis. Mempunyai bau tetapi tidak wangi. Spesis hoya ini merupakan antara yang paling biasa ditanam, mungkin kerana faktor kelasakannya.